55 usahawan berjaya tingkat hasil jualan bawah program INSKEN – Wan Junaidi

55 usahawan berjaya tingkat hasil jualan bawah program INSKEN – Wan Junaidi

KUALA LUMPUR: Seramai 55 usahawan berjaya meningkatkan hasil jualan sebanyak RM1.56 juta menerusi program Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) Bumiputera Business Coaching (IBBC) Homestay dan Bumiputera Business Enhancement Programme (BBEP).

Kedua-dua program itu mencapai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan apabila 50 peratus peserta IBBC Homestay dan 52 peratus peserta BBEP Kohort 7 tahun 2020 dapat meningkatkan jualan masing-masing antara 20 peratus dan lebih 100 peratus.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia kejayaan INSKEN mempersiapkan usahawan dengan ilmu dan kemahiran yang relevan serta sesuai untuk mereka bersaing di dalam industri yang semakin mencabar.

Jelasnya, program ilmu keusahawanan dan kemahiran perniagaan itu diberi melalui kaedah bimbingan selama empat bulan bermula September tahun lepas. “Program ‘hand-holding’ seperti ini dilengkapi dengan latihan dan bimbingan secara holistik serta dipantau bagi memastikan skala kemahiran perniagaan dapat ditingkatkan untuk berdepan dengan pelbagai cabaran. “Para usahawan perlu terus menuntut ilmu keusahawanan agar dapat memajukan perniagaan serta bersaing di peringkat yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, sebanyak 52 pekerjaan baharu juga telah dicipta melalui program tersebut.

Terdahulu, Wan Junaidi menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Sijil Program IBBC Homestay dan BBEP Kohort 7 2020 di Kota Bharu, Kelantan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Muhd Firdaus Azharuddin berkata, komitmen dan kesungguhan peserta program IBBC dan BBEP ketika mengikuti program menjadi faktor utama kepada kejayaan mereka.

Hasilnya, usahawan bukan sahaja dapat melonjakkan perniagaan mereka malah masih kekal bertahan dan dapat meneruskan operasi perniagaan seperti biasa, katanya.
“Antaranya, usahawan Mohammad Azmir Zahir Abu Bakar yang cemerlang melalui program IBBC Homestay dan berjaya mencatat RM5,642.63 purata hasil jualan, atau 242 peratus peningkatan, selepas menyertai program IBBC.

“Manakala purata hasil jualan tertinggi bagi peserta program BBEP adalah sebanyak RM55,040.45, atau 194 peratus peningkatan, oleh Nur Aini Abdul Wahab iaitu usahawan dalam industri pembuatan perabot,” kata Muhd Firdaus.

IBBC dan BBEP 2020 merupakan program pembangunan usahawan bagi meningkatkan skala perniagaan mengikut industri yang berkaitan. Ia juga bertujuan memberi panduan kepada usahawan dalam mengembang dan melonjakkan prestasi serta mempelajari dan menguasai teknik menguruskan perniagaan dengan berkesan.

Program IBBC dan BBEP masih diteruskan sehingga hari ini dan 2021 merupakan tahun kelima ia dianjurkan.

-DG

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )