37,415 perniagaan usahawan gulung tikar akibat COVID-19

37,415 perniagaan usahawan gulung tikar akibat COVID-19

MIRI,. Kajian dijalankan di negara ini mendapati sebanyak 37,415 perniagaan usahawan gulung tikar sejak pandemik COVID-19 melanda negara 2020 diikuti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac tahun sama.

Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia Datuk Mohd Ali Mansor berkata, daripada jumlah itu sebanyak 26,007 daripadanya adalah usahawan berstatus mikro dan bakinya 2,738 adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Dalam tempoh sebulan selepas PKP dikuatkuasakan pada 2020 aktiviti perniagaan dalam talian meningkat sehingga 28.9 peratus.

“Selain perusahaan dan perniagaan sedia ada beralih kepada pemasaran produk secara digital, peluang ini turut sama direbut oleh ramai usahawan baharu bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Justeru, gerakan koperasi perlu melihat segmen pasaran baharu dalam talian yang semakin mendapat sambutan.

“Disedari atau tidak, selain laman web Shopee dan Lazada terdapat banyak laman web boleh digunakan untuk memborong barang dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bicara Ilmu ‘Rahsia Borong Online Luar Negara’ sempena Program Memasyarakatkan Koperasi 2022 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeDAC) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Institut Koperasi Malaysia Zon Sarawak Siti Maimunah Jerni serta ketua dan wakil agensi kementerian terbabit.

Mohd Ali berkata, jika tahu teknik dan strategi betul usahawan dan koperasi akan memperolehi produk dengan harga lebih murah dan berbaloi.

“Pengetahuan mengenai selok-belok borong online yang betul akan membantu golongan usahawan mendapat pulangan maksimum.

“Program Bicara Ilmu ‘Rahsia Borong Online Luar Negara’ hari ini diharap dapat membantu koperasi bangkit semula mengikut peredaran semasa, seterusnya meningkatkan kembali jualan perniagaan mereka,” jelasnya.

Bagi memperkasa usaha itu, MeDAC turut menggariskan beberapa dasar dengan menumpukan penyelarasan dan penjajaran pelaksanaan program serta agensi di bawahnya bagi memastikan inisiatif dan pakej diperkenalkan kerajaan sampai kepada usahawan terkesan.

“MeDAC menyasarkan membantu seramai 192,541 usahawan terjejas semasa PKP. Empat program diperkenalkan bagi membantu koperasi menangani kelembapan operasi perniagaan berikutan PKP.

“Program Penubuhan Koperasi Prihatin Rakyat (KPR), Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR), Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) dan Dagang Produk atau Perkhidmatan Koperasi Dalam Talian (e-Dapat),” jelas beliau.

Katanya, jika melihat pertumbuhan koperasi seluruh dunia, hampir satu bilion penduduk dunia sudah mendapat manfaat daripada aktiviti koperasi termasuk penyediaan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Beliau berkata, berdasarkan statistik gerakan koperasi terdapat sebanyak 14,629 koperasi berdaftar di Malaysia dengan keanggotaan seramai 6.51 juta di seluruh negeri.

“Koperasi Malaysia mampu menjana perolehan berjumlah RM41.5 bilion dengan nilai aset terkumpul sejumlah RM150 billion.

“Sementara di Sarawak, bilangan koperasi mencapai 1,077 buah dengan keanggotaan seramai 283,258 orang,” katanya.

Justeru, sebagai badan peneraju, IKMa sentiasa berusaha merangka pelbagai program bagi memastikan gerakan koperasi terus kekal kompetitif dan berdaya saing dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah masa kini.

Sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan iaitu ‘Memasyarakatkan Koperai (MasKop)’ oleh Pegawai Latihan Kanan IKMa Zon Sarawak Mohamad Suandi Mortadza, ‘Bantuan Pembangunan Koperasi’ oleh Penolong Pengarah Kanan, SKM Lily Fawziah Adnan dan ‘Rahsia Borong Online Luar Negara’ oleh Kapten (B) Zainol Rashid Burhan.

Lebih 100 peserta mengambil bahagian pada program bicara ilmu kali ini yang menyasarkan ahli-ahli termasuk jawatankuasa pengurusan koperasi di sini.

Program Bicara Ilmu itu bagi memberi pendedahan kepada gerakan koperasi khususnya di bahagian Miri dan kawasan sekitarnya mengenai pemborongan dalam talian.

Di samping mengetahui peluang menjana pendapatan koperasi yang boleh diperolehi melalui perniagaan ini serta dapat mempelajari teknik dan strategi memborong dalam talian.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )