3,058 permohonan PKS dengan nilai pinjaman RM742.8 juta diluluskan – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 3,058 permohonan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dengan nilai pinjaman RM742.8 juta telah diluluskan di bawah Pembiayaan PKS PENJANA sehingga 18 Sept, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata di bawah pembiayaan ini, dana berjumlah RM2 bilion telah diperuntukkan kerajaan dengan memberi keutamaan kepada PKS yang belum pernah mendapat pinjaman dari bank sebelum ini.

Sementara itu, sebanyak RM73.6 juta turut disalurkan kepada 11,059 PKS Mikro di bawah Skim Pemulihan Perniagaan Tekun, kata Tengku Zafrul di dalam Laporan LAKSANA ke-23 mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dikeluarkan hari ini.

Beliau menjelaskan skim yang disediakan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) ini mampu meningkatkan akses kepada pembiayaan dalam memulihkan beban aliran tunai jangka pendek PKS.

“PKS selaku komponen penting dalam pertumbuhan ekonomi negara turut diberikan keutamaan dalam memastikan kelangsungan perniagaan mereka,” kata Tengku Zafrul.

Kerajaan juga menyalurkan sebanyak RM55.31 juta melalui Pembiayaan Mikro Kredit PENJANA di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) yang memanfaatkan 1,480 PKS dan PKS Mikro.

Bagi memastikan kelangsungan usahawan Bumiputera, beliau berkata sebanyak RM16.22 juta telah disalurkan melalui Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan memanfaatkan 41 perniagaan Bumiputera.

Tengku Zafrul berkata Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula menyediakan pinjaman modal kerja untuk membantu usahawan yang terjejas, termasuklah sektor pendidikan swasta dengan had maksimum jumlah pinjaman RM1 juta dengan kadar faedah 3.5 peratus setahun.

Maklumat lanjut, boleh diperoleh di laman web, www.mara.gov.my.

Menyentuh mengenai permohonan ePenjana yang telah ditutup pada Sept 24, beliau berkata 11.15 juta rakyat telah menerima RM50 dalam e-Dompet dengan jumlah nilai RM557.46 juta.

Tengku Zafrul mengingatkan penerima ePENJANA bahawa kredit di dalam e-dompet ini perlu digunakan sebelum Sept 30 supaya nilai kredit tidak luput daripada akaun mereka.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )