30,000 perusahaan MSME dapat manfaat RM1,500 menerusi kempen Shopee

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 30,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) yang baharu kepada e-dagang masing-masing akan menerima manfaat berjumlah lebih daripada RM1,500, sebagai sebahagian daripada komitmen Shopee dalam Kempen E-dagang Perusahaan Mikro dan PKS PENJANA yang dilancarkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) baru-baru ini.

Inisiatif ini, yang merupakan sebahagian daripada komponen ‘Propel Businesses’ dalam pelan pemulihan ekonomi jangka pendek PENJANA, dijangka dapat merancakkan ekonomi dengan mempercepatkan digitalisasi di kalangan perniagaan tempatan serta memberi galakan kepada penjual yang baharu kepada e-dagang.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, “perusahaan kecil dan sederhana menyumbang sebanyak 38.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) Malaysia pada tahun 2018.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya sektor ini untuk dipulihkan berikutan kesan buruk COVID-19. Keadaan semasa mendorong perubahan dalam pertumbuhan ekonomi digital ketika perniagaan mencari saluran penjualan alternatif untuk terus bertahan.”

“Oleh itu, rancangan PENJANA dipersiap dengan teliti demi membantu perniagaan tempatan dalam perjalanan digitalisasi mereka ketika ekonomi beralih ke arah pemulihan. Sebagai pemain e-dagang terbesar di negara ini, Shopee berusaha untuk melaksanakan tugas kami dan memenuhi komitmen kami kepada Kementerian Kewangan dan MDEC.”

“Oleh itu, jika anda mengkaji bagaimana manfaat Shopee dibentuk, anda akan menyedari bahawa ia menumpukan pada bantuan bagi MSME untuk memulakan perjalanan penjualan dalam talian mereka, menggalakkan pesanan, memberikan pendedahan dan yang lebih penting lagi, menjana penggunaan untuk ekonomi tempatan.

“Dengan ini, kami berharap MSME di negara ini akan menerima galakan ini dan prospek ekonomi akan bersifat lebih optimis,” katanya.

Menerusi kempen ini, SME baharu di Shopee layak mendapat baucar bernilai RM1,000 untuk kedai Shopee mereka bagi membantu memulakan dan menjana hasil jualan, serta RM500 dalam kredit iklan yang boleh digunakan oleh penjual untuk meningkatkan keterlihatan kedai dan produk mereka di Shopee.

Pada masa sama, Shopee menawarkan penyertaan percuma dalam Pakej Penghantaran Percuma RM15 Shopee di mana perbelanjaan minimum untuk pembeli menikmati penghantaran percuma dikurangkan kepada RM15 berbanding dengan jumlah perbelanjaan minimum biasa platform iaitu RM40, menjadikan kedai MSME lebih menarik kepada para pengguna.

Penyertaan percuma dalam Program Pulangan Tunai Syiling Shopee di mana pembeli akan mendapat manfaat daripada pulangan tunai 10% tanpa perbelanjaan minimum, tanpa had dalam bentuk baucar Syiling Shopee apabila mereka berbelanja di kedai-kedai MSME baharu ini.

Syiling Shopee yang diperoleh membolehkan pembeli berjimat dalam pembelian masa depan. Ini akan membantu mendorong pembelian berulang dan menjana lebih banyak penggunaan bagi ekonomi tempatan.

Terdahulu, pada April dan Mei, Shopee secara sukarela menyuntik RM15 juta ke dalam ekonomi Malaysia melalui Pakej Bantuan Peniaga Shopee untuk membantu penjual baharu dan sedia ada mengatasi kesan COVID-19, yang mengakibatkan kehilangan pendapatan terutama semasa tempoh perintah kawalan pergerakan.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Kempen E-dagang Perusahaan Mikro dan PKS di Shopee, kunjungi: https://shopee.com.my/m/msmecampaign.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )