271 usahawan terkesan COVID-19 terima pembiayaan RM70 juta di bawah SUCCESS sejak Nov lepas

271 usahawan terkesan COVID-19 terima pembiayaan RM70 juta di bawah SUCCESS sejak Nov lepas

PONTIAN,. Seramai 271 usahawan terkesan akibat COVID-19 di seluruh negara telah menerima pembiayaan berjumlah RM70 juta menerusi Skim Pecutan Mampan (SUCCESS) yang diperkenalkan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) sejak November lepas.

Pengerusi PUNB Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata pembiayaan tersebut ditawarkan khusus kepada Rakan Usahawan PUNB sedia ada bagi memastikan kelestarian usahawan mendepani cabaran COVID-19 dalam fasa pemulihan negara.

Katanya PUNB telah mengambil langkah strategik untuk meningkatkan struktur pembiayaan SUCCESS, yang menawarkan pembiayaan daripada RM100,000 hingga maksimum RM1 juta.

Katanya PUNB turut mengambil inisiatif untuk memendekkan tempoh kelulusan pembiayaan di bawah RM300,000 dalam tempoh dua minggu sahaja mengikut syarat yang telah ditetapkan.

“Insya-Allah, kita akan cuba sebaik mungkin dan secepat mungkin. Kita tidak mahu tempoh terlalu lama. Bagi pembiayaan RM300,000 ke atas, kita dalam proses untuk memendekkan lagi supaya usahawan tidak tunggu lama apabila memohon pinjaman,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat dan dialog PUNB dengan usahawan di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad Nazlan berkata seramai 40 usahawan di Johor telah menerima pembiayaan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM9 juta melalui skim itu setakat hari ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )